PRODUK BARU!!!

NAMSAHAZ Webhosting - Webhosting mampu milik untuk semua!

Friday, December 4, 2009

DIVIDEN KWSP LEBIH TINGGI

Salam semua,

Tajuk diatas sudah tentu semua pelabur KWSP gembira dengan berita yang terpapar di Berita Harian.

Ini beritanya..

Pelaburan suku ketiga tahun ini melonjak RM5.5 bilion

KUALA LUMPUR: Kira-kira 12 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka menerima bayaran dividen lebih tinggi bagi 2009 susulan prestasi memberangsangkan dicatatkan pengurus dana persaraan itu tahun ini.

KWSP dalam kenyataannya semalam mengumumkan pendapatan pelaburannya dalam suku ketiga tahun ini melonjak 52.71 peratus kepada RM5.5 bilion daripada hanya RM3.6 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Jika dibandingkan dengan RM4.8 bilion yang diraih pada suku kedua tahun ini pula, ia adalah peningkatan 14.51 peratus.

Berikutan itu pendapatan pelaburan terkumpulnya bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini adalah berjumlah RM13.56 bilion.

Ketua Eksekutif KWSP, Tan Sri Azlan Zainol, berkata keadaan pasaran saham tempatan yang semakin kukuh membantu meningkatkan pendapatan pelaburan dana persaraan itu pada suku ketiga itu.

“Justeru, jika pasaran terus menunjukkan prestasi yang baik sehingga akhir tahun ini, ahli boleh menjangkakan dividen lebih tinggi bagi 2009 ini berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Bagi 2008 KWSP mengumumkan dividen 4.5 peratus. Dalam tahun berkenaan ia meraih pendapatan bersih RM14.26 bilion selepas ditolak peruntukan susut nilai ekuiti dan hutang ragu, bayaran dividen untuk pengeluaran, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi dan bayaran manfaat kematian serta hilang upaya.

Azlan berkata, pelaburan dalam saham terus menjadi penyumbang utama pendapatan pelaburan KWSP dalam tempoh suku ketiga lalu, iaitu RM2.34 bilion, naik 34.67 peratus daripada RM1.74 bilion yang di raih pada suku sebelumnya.

Katanya, selain saham, pelaburan dalam pinjaman dan bon turut menjadi antara penyumbang terbesar apabila ia meningkat 4.07 peratus kepada RM1.89 bilion daripada RM1.81 bilion pada suku sebelumnya.

Kenaikan itu, katanya, susulan meningkatnya semula momentum dan keyakinan terhadap pasaran bon korporat tempatan.

Tegasnya, ia juga sejajar dengan dasar risiko rendah KWSP, iaitu melabur hanya dalam bon syarikat bergred tinggi dengan penarafan kredit AAA atau AA.

Azlan berkata, pelaburan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia pula meraih pulangan RM1.14 bilion, naik 2.54 peratus daripada RM1.11 bilion pada suku sebelumnya, sementara pendapatan daripada pelaburan hartanah meningkat 2.69 peratus kepada RM21.37 juta daripada RM20.81 juta.

Bagaimanapun, katanya, pendapatan daripada pelaburan dalam Instrumen Pasaran Wang susut 7.38 peratus kepada RM87.31 juta daripada RM94.27 juta.

Azlan menegaskan, sebagai pemegang amanah kepada dana persaraan lebih 12 juta pencarum, KWSP akan memastikan prestasi keseluruhan portfolio pelaburannya sentiasa diuruskan dengan berhemah bagi melindungi ahlinya.

“KWSP akan berusaha gigih untuk meraih pulangan lebih baik bagi keselesaan persaraan ahlinya,” katanya sambil menambah, saiz dana keseluruhan KWSP setakat akhir suku ketiga lalu ialah sebanyak RM361.09 bilion.

No comments:

Post a Comment

KOMEN!!!