PAS menyahut cabaran Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, meminta umat Islam memilih kerajaan yang mampu menjamin, memelihara serta memartabatkan kesucian agama Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang ketika menyampaikan ucaptama Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012. Wajib diketahui bahawa Islam adalah daripada Allah untuk seluruh alam termasuk manusia seluruhnya. Islam bukan ciptaan manusia samada manusia itu ahli PAS atau ahli UMNO atau bukan ahli mana-mana parti, termasuk manusia itu bertaraf ulama di sepanjang zaman dan mereka tidak diizinkan mencipta ajaran Islam sendiri. Mencipta ajaran sendiri yang dianggap setanding atau setaraf ajaran Islam daripada Allah adalah perkara syirik dosa besar. Firman Allah :
أَمْ لَهُمْ شُرَكَاءُ شَرَعُوا لَهُمْ مِنَ الدِّينِ مَا لَمْ يَأْذَنْ بِهِ اللَّهُ وَلَوْلَا كَلِمَةُ الْفَصْلِ لَقُضِيَ بَيْنَهُمْ وَإِنَّ الظَّالِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (21) الشورى.
21. Apakah mereka mempunyai sekutu-sekutu selain Allah yang mensyariatkan untuk mereka ajaran agama yang tidak diizinkan Allah? sekiranya tidak ada ketetapan yang menentukan (dari Allah) tentulah mereka telah dibinasakan. dan sesungguhnya orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.
Allah telah melantik Nabi Muhammad s.a.w rasul akhir zaman supaya membawa Islam ciptaan Allah serta menyampaikan Islam itu dan menafsirkan cara pelaksanaannya secara amali yang dijamin istiqamahnya dengan sifat kerasulan yang wajib terpelihara. Walaupun Allah mewafatkan Rasulullah s.a.w, namun
Sejarah Islam membuktikan, hanya bangsa dan umat yang dibentuk peribadi, keluarga, masyarakat dan negaranya mengikut Islam sahaja, iaitu acuan Allah bukan acuan ciptaan manusia dan cara pelaksanaannya berpandukan Rasulullah s.a.w dan generasi awal yang mengikut jejak langkahnya, mancapai martabat yang mulia dan memperkasakan umat yang beramal dengannya di sepanjang zaman sehingga mampu mengambil alih memimpin dunia yang dirosakkan oleh tamadun sesat. Pemimpin negara yang berpegang dan beramal dengan Islam yang sempurna itu menjadi kuasa besar yang memimpin dunia.
Walau bagaimanapun, kejatuhan umat Islam di zaman mutakhir selepasnya, berlaku selepas penganut Islam meninggalkan ajaran Islam yang sempurna akibat penyelewengan pemimpin dan kerajaannya, menyebabkan tanah air dan bangsa yang menganut Islam dijajah dan dihina. Penjajah mengambil kesempatan di zaman penguasaannya, setelah gagal memurtadkan umat Islam dengan menukar agamanya walaupun secara paksa. Lalu mereka menukar cara dengan mengubah acuan baru pelaksanaan Islam bagi umat Islam secara halus dan licik, iaitu dengan cara melaksanakan Islam secara terpilih, beramal dengan sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, sehinggalah ke peringkat percaya kepada sebahagian dan tidak percaya kepada sebahagian yang lain. Mereka menerapkan dasar dan konsep sekularisme yang memisahkan urusan duniawi dalam agama Kristian di negara mereka ke dalam agama Islam yang dibentuk acuan pelaksanaannya terhadap umat Islam.
Maka Islam yang sempurna, lengkap dan berkuasa memandu seluruh urusan kehidupan, khususnya pentadbiran negara dihapuskan. Kuasa yang dinamakan agama Islam dibelenggu di bawah Jabatan Agama yang dihadkan bidangnya sekadar urusan ibadat yang terhad, undang-undang keluarga Islam, harta pusaka dan wakaf, seterusnya Jabatan Hal Ehwal Agama diberi peranan bertindak mengawal sebarang kegiatan yang bersifat politik, ekonomi dan ajaran yang berkait dengan cara hidup mengikut syariat Islam yang memperkasakan umat Islam, disekat dengan undang-undang yang dinamakan Islam juga, bagi mengawasi khutbah jumaat dan pengajian agama. Akhirnya umat Islam jahil agamanya sendiri, para ulamanya lemah, akhirnya hilang martabatnya dan menjadi bangsa yang lemah.
Namun di setiap tanah air umat Islam muncul kumpulan yang mempertahankan Islam dan menentang penjajah di atas nama Islam dan bercita-cita Islam, walaupun ramai kalangan mereka yang gugur syahid di medan jihad, ditali gantung, dibuang negeri dan dipenjara. Akhirnya penjajah mengaku bahawa mereka terpaksa berundur dan mesti kembali pulang ke negeri masing-masing, tetapi kepentingan mereka wajib dipertahankan. Penjajah Barat yang bersikap musuh terhadap Islam dan penganutnya kerana sesat dan dengkinya tidak berundur dengan percuma, tetapi berundur dengan perancangan pula bagi menghalang wujudnya kuasa Islam yang benar-benar berwibawa memperkasakan umat Islam yang dikira mencabar kuasa Barat. Mereka tetap bersifat hasad dan bermusuh sehingga hari kiamat, begitulah pesanan Allah dalam surah Baqarah:
وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوكُمْ عَنْ دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُولَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُ هُمْ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُون
217. Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) memesongkan kamu daripada agama kamu, seandainya mereka mampu. Sesiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
Ayat ini tidak terhad pengajarannya di zaman Rasulullah s.a.w ketika berlakunya sebab tetapi pengajarannya berpanjangan sehingga hari kiamat. Kitab Mustika Hadis jilid kedua terbitan Jabatan Perdana Menteri, terus menjadi teks kuliah dan usrah kalangan ahli PAS, dalam bab perkara merosakkan iman menyatakan bahawa penyelewengan agama yang menghilangkan martabat umat Islam bukan sehaja keluar daripada agama Islam secara menyeluruh dengan menganut agama lain, bahkan berlaku pada setiap satu ajaran Islam daripada keseluruhannya termasuk perkara sunat. Inilah perancangan penjajah.
Lord Cromer ketua pentadbir penjajah Inggeris di Mesir dan Sudan di zaman penjajahannya menegaskan bahawa: “Pihak Barat yang terpaksa berundur, akhirnya terpaksa memberi kemerdekaan kepada tanah jajahan hendaklah merancang supaya pemimpin kerajaan selepas merdeka terdiri daripada kalangan bangsa anak negeri yang berpendidikan dan berpelajaran Barat dan boleh meneruskan dasar dan polisi Barat yang mengekalkan pengaruhnnya sehingga selepas diberi kemerdekaan, seterusnya menghalang kuasa politik Islam bertapak semula “.
UMNO adalah parti yang dipilih oleh penjajah British untuk menjadi teras kerajaan Malaysia setelah diberi kemerdekaan dan wajib diberi kekuatan untuk menang pilihanraya selama-lamanya, supaya martabat umat Islam terus lemah tidak bermaya walaupun telah mencapai kemerdekaan dan penjajah kulit putih tidak ada lagi. Inilah akibat yang menimpa umat Islam selepas lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan, membina bangunan agama pada zahirnya tetapi merobek dan meruntuh sehingga melemahkan jati diri pada hakikatnya, seterusnnya boleh menjatuhkan martabat umat.
Islam yang dibawa ke rantau ini oleh para pendakwah yang berjasa, adalah Islam yang sempurna sehingga melahirkan raja-raja dan para ulama yang berjasa. Mereka menentang penjajah sejak kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Perjuangan kemerdekaan bukannya bermula dengan penubuhan UMNO pada tahun 1946. Sejarah telah diputar belit oleh penjajah dan disambung oleh UMNO. PAS ditubuhkan menjadi mata rantai perjuangan Islam menentang penjajah, ramai kalangan penaja dan pemimpin yang menubuhkan PAS adalah bekas tahanan penjajah, saki-baki daripada para ulama dan raja-raja Melayu yang dibunuh, dibuang negeri dan dihilangkan dalam lipatan sejarah. PAS mengambil pendekatan secara damai cuba membetulkan kemerdekaan dengan memorandum bersama kumpulan Islam sehingga meletakkan beberapa perkara dalam perlembagaan, iaitu Islam agama persekutuan, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan raja berpelembagaan. Namun UMNO yang menjadi pemimpin utama, telah menyebabkan berlakunya terhadap umat Islam seperti yang ada pada hari ini.
Islam dikekalkan oleh UMNO mengikut acuan penjajah selepas mengambil alih kepimpinan negara. Pendidikan Islam yang dilumpuhkan oleh penjajah, disambung kerjanya oleh UMNO sehingga sekolah agama rakyat yang menjadi kubu Islam dilemahkan, tulisan jawi berhuruf arab yang menjadi bahasa agama serantau dilemahkan oleh UMNO sehingga hampir hendak disimpan ke dalam muzium. Sekolah-sekolah agama sebelum dan di awal kemerdekaan yang ditubuhkan oleh para ulama sehingga melahirkan pelajar yang boleh berbahasa arab setaraf dengan orang arab, dipinda sistemnya selepas merdeka, sehingga melahirkan pelajar yang lemah bahasa arabnya dan cukup layak menjadi ulama muda terompah kayu UMNO yang diguna pakai sementara kemudian dibuang tanpa maruah. Hukum Islam dipinggirkan pelaksanaannya sehingga keruntuhan moral kalangan umat Islam paling meningkat. Jabatan agama pula lebih berperanan seperti zaman penjajah untuk mengawal kegiatan dakwah di masjid dan surau yang mengancam sekularisme sehingga tidak mampu memperkasakan umat Islam dengan agamanya, laksana tentera yang mempertahankan sekularisme di Turki.
Kadar umat Islam di awal kemerdekaan hampir lapan puluh peratus, selepas kemerdekaan beberapa tahun menurun kepada enam puluh peratus. Kehilangan jatidiri Melayu Islam di Singapura, pada awalnya Melayu UMNO Datuk Hamid Jumat menjadi Ketua Menteri akhirnya tenggelam, bukan salah Cina tetapi UMNOlah puncanya kerana mengambil pendekatan betapa kerasnya mempertahankan Melayu, sehingga hendak membunuh bangsa lain tetapi bodoh politik. Kedudukan Melayu Pulau Pinang yang makin lemah bukan salah kaum Cina, tetapi salah UMNO yang memimpinnya kerana mengajar Melayu leka dengan politik wang rasuah, harta wakaf sanggup diseleweng, akhirnya boleh tenggelam bersama UMNO seperti di Singapura. Kehilangan kekurangan kerusi Melayu Islam kerana UMNO terpaksa memberi sedekah kerusinya kepada rakan sejawatnya MCA, GERAKAN dan MIC. Akhir-akhir ini, kaum Cina dan India bersorak kerana calon PAS menang mengalahkan calon MCA, GERAKAN atau MIC, tetapi Melayu yang dilatih oleh UMNO pula menangis kerana rakan sejawatnya MCA, GERAKAN dan MIC kalah.
Bahasa Melayu diterima oleh semua kaum menjadi bahasa kebangsaan kerana sudah menjadi bahasa perantaraan di negara kita. Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan serta dikuatkan dengan perlembagaan bagi memperkasakan bahasa kebangsaan menjadi bahasa ilmu dan pentadbiran, setaraf dengan bahasa lain. Tiba-tiba kedudukannya makin lemah, bukan sahaja dipinggirkan dalam urusan kerajaan malah secara zahir kelihatan diperkecilkan ucapan dan tulisannya dalam amalan di merata tempat dan amalan pemimpin sendiri. Ungkapan bahasa jiwa bangsa diserlahkan oleh para pemimpin dunia, ada kalangan pemimpin beberapa negara yang mampu menguasai beberapa bahasa, namun tetap menggunakan bahasa masing-masing sehingga di peringkat berucap di PBB dan lain-lain. Adapun pemimpin UMNO dalam negara sendiripun lupa daratan apatah lagi kalau di luar negara, menandakan hilang jiwa bangsanya. Inikah pemimpin yang diharap meninggikan martabat umatnya ?
Hak Istimewa Melayu atau Bumiputera menjadi tongkat untuk memperkasakan Melayu Islam dalam bidang ekonomi, disalahgunakan oleh pemimpin UMNO di semua peringkat daripada menteri kabinet sehinggalah ketua cawangan UMNO dan JKKK. Dalam masa lebih lima puluh tahun, masih tidak mampu bersaing dengan kaum yang lebih maju, setiap kali konsep Dasar Ekonomi Baru diwarwarkan tongkat hak istimewa diangkat sekadar untuk memukul atau mengugut kaum lain, bukannya untuk menguatkan diri sendiri. Peruntukannya banyak yang diketahui umum kebocorannya, sehingga Bank Bumiputrera yang berkembar dengan UMNO laksana kuku dengan isi, di mana ada pejabat UMNO disitu ada cawangan Bank Bumiputera, akhirnya terpaksa dikebumikan kerana ditelan riba dan pinjaman khianat.
Raja berperlembagaan yang diberi amanah untuk memayungi agama, sepatutnya diperkasakan oleh UMNO yang memegang tampuk politik dengan kekuatan Islam sebagai al-Din yang hebat berkuasa dengan Islam adil untuk semua. Tiba-tiba UMNO meminda perlembagaan untuk lebih kuasa kepada UMNO dengan memalukan raja-raja, maka pindaan perlembagaan jadilah laksana tikus membaiki labu.
PAS mengajak rakyat memilih PAS ganti UMNO bagi meninggikan martabat umat dengan acuan daripada Allah yang temaktub dalam al-Quran. Firman Allah dalam surah al-Hajj (maksudnya):
40. Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, tempat-tempat sembahyang dan masjid- masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agamaNya). Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
41. (Iaitu) orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang munkar; dan kepada Allahlah kembali segala urusan.
Konsep Islam menerima kewujudan masyarakat majmuk, bukan dengan semangat fanatik perkauman di kalangan kaum berbagai bangsa dan agama tetapi berkonsepkan adil dan hak yang diberi untuk semua secara sifat kemanusiaan ciptaan Allah yang ditunjuk oleh Rasulullah s.a.w. Perkara ini diserlahkan melalui Konvensyen Pakatan Rakyat secara persetujuan bersama mengekalkan konsep yang ada dalam perlembagaan tetapi diamal salah oleh Barisan Nasional yang diketuai UMNO setelah lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan dengan natijah yang melemahkan martabat umat Islam dan menegangkan hubungan dalam masyarakat berbagai kaum.
PAS telah cuba sedaya upaya di negeri yang pernah diperintah dan sedang diperintah, tetapi dihalang dan diganggu secara tidak adil dan beradab serta melanggar konsep perlembagaan dan menyempitkan hak rakyat. PAS bersama Pakatan Rakyat berbagai parti dan kaum mengajak rakyat menolak pemimpin yang dipilih secara rasuah melalui politik wang dalam parti dan membeli rakyat dengan rasuah juga dalam pilihanraya yang terlalu banyak penipuannya, supaya menjadi rakyat yang berfikir secara matang, ikhlas dan berani.
Pilihanraya menentukan pilihan meninggikan martabat umat Islam, ialah memilih PAS ganti Umno. Pakatan Rakyat ganti Barisan Nasional. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang yang beriman tidak harus disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang”. Tidak sedarkah anda bahawa UMNO telah menyengat orang Melayu Islam sudah dua belas kali pilihanraya daripada satu lubang yang ditabur dengan umpan duit dan janji manis tetapi beracun jangka panjangnya.
Presiden PAS
sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/8246-55-tahun-islam-dimartabatkan-cara-umno
No comments:
Post a Comment
KOMEN!!!